LANGKAWI, KEDAH, 14 Julai 2024 – Saingan Pusingan 3 kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 2024 berakhir di pulau lagenda Langkawi dengan para pelumba pilihan kembali garang untuk menguasai perlumbaan sekali gus menguasai kejuaraan yang kini berbaki dua lagi pusingan.
Mengikuti jejak langkah pelumba sensasi Qabil Irfan dalam saingan perdana 190cc yang terus tiada saingan, pelumba Ariel Marzuki dan Al-Adam Mikail turut mencatat kemenangan berganda dalam kelas perlumbaan masing-masing pada perlumbaan yang diadakan di Litar Lumba MORAC Adventure Park hari ini.
Selepas dicabar oleh para pelumba antarabangsa pada saingan Pusingan 2 di Sepang dalam saingan FIM MiniGP Malaysia 160cc, Ariel Marzuki enggan dikecewakan di Langkawi dengan menamatkan saingan 16 pusingan pada Perlumbaan 1 dengan catatan masa 18 minit 6.977 saat dan 0.490 saat di hadapan pelumba Vietnam, Nguyen Viet Tuan. Fahim Naufal menduduki tempat ketiga dengan diikuti oleh Qasha Irfan di tempat keempat.
Airel kembali lebih gagah pada Perlumbaan 2 untuk mencatat kemenangan lebih besar ke atas Nguyen Viet Tuan dengan kelebihan 4.627 saat, yang sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua; dengan diikuti Qayyim Razin di tempat ketiga dan Fahim Naufal di tempat keempat.
Dengan kemenangan berganda di Langkawi, Ariel Marzuki kembali merampas kedudukan di persada kejuaraan FIM MiniGP Malaysia 160cc dengan memungut 127 mata untuk mengatasi Nguyen Viet Tuan dengan hanya 1 mata. Qayyim Razin menduduki tempat ketiga dengan 86 mata dan penunggang Indonesia, Kenzie Akbar di tempat keempat dengan 65 mata.
Saingan kelas perdana 190cc terus diungguli oleh Qabil Irfan, yang prestasinya nyata dijulang dengan kejayaan cemerlang di Eropah baru-baru ini. Penunggang berusia 12 tahun itu menamatkan saingan 18 lap pada Perlumbaan 1 dengan catatan masa 19 minit 45.913 saat dan 6.296 di hadapan juara bertahan, Farish Hafiy. Tempat ketiga dimenangi oleh Adam Danial dengan disusuli oleh Adib Arsyad di tempat keempat.
Perlumbaan 2 menyaksikan Qabil Irfan dicabar hebat oleh Farish Hariy; tetapi masih terlalu gagah dan menang dengan kelebihan masa 2.917 saat. Tempat ketiga dimenangi oleh Adam Danial; dengan tempat keempat diduduki oleh Sharf Muhriz.
Selepas tiga pusingan, Qabil Irfan mencatat kutipan sempurna 150 mata; dengan Faarish Hafiy di tempat kedua dengan pungutan 113 mata. Tiga pelumba – Adam Danial, Adib Arsyad dan Adam Aiman berkongsi kedudukan di tempat ketiga dengan 70 mata.
Dalam saingan SIC Ohvale Junior Championship, pendahulu kejuaraan Al-Adam Mikail beraksi cemerlang pada Perlumbaan 1; dengan menamatkan saingan 15 lap di Langkawi dengan kelebihan 6.720 saat di hadapan Nufayl Darwisy. Tempat ketiga diduduki oleh Hairith Fezzrul Iman dengan Rishi Keishan Kishi di tempat keempat.
Perlumbaan 2 menyaksikan Al-Adam dicabar sengit oleh Nufayl Darwisy; tetapi tetap unggul untuk mencatat kemenangan dengan kelebihan 0.118 saat. Rishi Keishan Kishi menduduki tempat ketiga; untuk mengatasi Qholbu Khalis, yang gagal menempatkan diri di podium.
Dengan kutipan 50 mata di Langkawi, Al-Adam Mikail mengukuhkan kedudukan di persada kejuaraan SIC Ohvale Junior Championship dengan mengutip 141 mata; 41 mata di hadapan Nufayl Darwisy di tempat ketiga. Tangga ketiga diduduki oleh Hairith Fezzrul Iman dengan 69 mata.

Dalam saingan kelas 190cc, Farish Hafiy memaparkan peningkatan dan telah merapati keupayaan Qabil Irfan termasuk mendahului beberapa lap sebelum Qabil kembali menguasai saingan. Saingan 160cc turut menunjukkan prestasi yang baik khususnya Ariel Marzuki yang memenangi kedua-dua perlumbaan hari ini. Misi pasukan saya untuk Pusingan 4 nanti adalah untuk memantapkan prestasi jentera perlumbaan bagi memastikan para pelumba dapat menunjukkan prestasi terbaik di Litar Lumba UNIMAP, Arau.
Saya turut ingin mengambil peluang di sini untuk merakamkan penghargaan kepada LADA dan KBS Langkawi serta pengendali Litar Lumba MORAC Adventure Park, yang telah memberikan sokongan padu bagi memastikan kelancaran penganjuran Pusingan 3 ini.”
