Sepang | 14 April 2026 – MotoMini Malaysia tampil dengan pembaharuan signifikan bagi musim 2026 apabila memperkenalkan konsep berasaskan pasukan, satu langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan pelumba cilik ke arah ekosistem perlumbaan yang lebih profesional.
Bagi tahun ini, MotoMini Malaysia menampilkan dua kategori utama iaitu MotoMini 160 dan MotoMini 190, disokong oleh kategori sokongan SIC Ohvale Junior Championship serta RCB MotoKidz Championship.
Menerusi konsep baharu ini, setiap pasukan diwajibkan mempunyai minimum dua (2) pelumba dan maksimum empat (4) pelumba, serta perlu berdaftar secara rasmi di bawah Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) sebagai sebuah pasukan yang sah.
Menariknya, setiap pasukan dibenarkan untuk menggabungkan pelumba daripada kategori MotoMini 160, MotoMini 190 dan SIC Ohvale Junior Championship dalam satu pasukan yang sama. Walau bagaimanapun, kategori RCB MotoKidz Championship dikekalkan sebagai kategori berasingan dan tidak dibenarkan untuk digabungkan bersama kategori MotoMini.
Sebagai nilai tambah kepada penyertaan berpasukan, MotoMini Malaysia turut memperkenalkan Team Best Award, yang akan diberikan kepada pasukan dengan jumlah pungutan mata keseluruhan tertinggi sepanjang musim.
Dalam masa yang sama, setiap pasukan turut diberikan peluang komersial yang lebih luas melalui penyediaan ruang penjenamaan, termasuk paparan logo penaja pada motosikal, khemah pit dan pakaian rasmi pasukan.
Pelaksanaan konsep ini bukan sahaja memperkenalkan struktur pasukan yang lebih tersusun, malah membuka ruang kepada pelumba muda untuk merasai pengalaman sebenar dunia perlumbaan profesional. Setiap pelumba akan berada di bawah pemantauan serta pengurusan pasukan yang akan menyediakan bimbingan, strategi dan sokongan menyeluruh sepanjang kejuaraan berlangsung.
Sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2020, format perlumbaan MiniGP sebelum ini menyaksikan pelumba bertanding secara individu. Namun, bermula musim 2026, penyertaan akan beralih kepada format berpasukan sepenuhnya, selari dengan landskap perlumbaan kompetitif di peringkat antarabangsa.
Selain itu, para peserta juga digalakkan untuk mendapatkan sokongan penaja bagi membantu menampung kos penyertaan sepanjang kejuaraan, sekaligus memperkukuh elemen profesionalisme dalam kalangan pelumba muda. Sehubungan itu, mana-mana pihak penaja yang berminat untuk memberikan penajaan kepada pelumba atau pasukan boleh menghubungi pelumba secara terus atau berhubung dengan pihak penganjur melalui emel di motomini@zkracing.com.my.

“Pengenalan konsep pasukan dalam MotoMini Malaysia adalah satu perkembangan yang sangat positif. Ia bukan sahaja meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan pelumba cilik, malah memberi pendedahan awal tentang bagaimana suasana sebenar perlumbaan di peringkat antarabangsa yang berasaskan struktur pasukan.
Sebenarnya tidak banyak berbeza dari segi konsep asal MotoMini sebelum ini, di mana struktur perlumbaan masih dikekalkan seperti biasa. Perubahan utama yang diperkenalkan adalah dari segi penjenamaan, di mana setiap pasukan kini diberikan ruang untuk menempatkan penaja masing-masing di pit box, motosikal serta t-shirt rasmi pasukan. Dari sudut teknikal dan operasi acara, ia masih kekal seperti tahun-tahun sebelum ini, dengan pengurusan motosikal dikendalikan sepenuhnya oleh pihak penganjur bagi memastikan keseragaman dan tahap persaingan yang adil.
Saya percaya pendekatan ini akan memberi nilai tambah yang besar kepada pembangunan pelumba, bukan sahaja dari segi prestasi di litar, tetapi juga dari aspek kerja berpasukan, disiplin serta pemahaman terhadap peranan penaja dalam membina kerjaya mereka di peringkat yang lebih tinggi.”

