BERANANG, SELANGOR, 25 Mei 2025 – Pusingan ke-2 FIM MiniGP Malaysia Series berlangsung sengit dengan cuaca yang permukaan litar lebih 50 darjah membolehkan pelumba-pelumba FIM MiniGP Malaysia dan RCB MiniMoto Championship fokus kepada perlumbaan tanpa perlu memikirkan masalah cengkaman tayar.
Sesi kelayakkan yang berlangsung pada pagi Ahad bermula dengan cukup baik bagi semua kategori. Bermula dengan SIC Ohvale Junior Championship, Safiuddin Shaharizan catat masa terpantas dengan 51.017 saat untuk menempah petak pertama perlumbaan.
Bagi kategori ini, 13 pelumba mengesahkan penyertaan dalam perlumbaan pusingan kedua di Beranang dimana beberapa pelumba dari Indonesia dan China tidak menyertai pusingan kedua di Beranang. Memasuki perlumbaan pertama, Firash Naufal berjaya memenangi perlumbaan setelah berjaya bermula dengan baik dan mengatasi Safiuddin. Pelumba dari Indonesia, Arby Thoriq turut berada di podium bagi perlumbaan pertama SIC Ohvale Junior Championship. Keputusan sedikit berbeza bagi perlumbaan kedua bagi kedudukan tempat kedua podium dengan Aqeef Darwish berjaya sampai ke podium dan Firash Naufal unggul memenangi perlumbaan dan Arby Thoriq berada pada kedudukan ke-3.
Kategori FIM MiniGP 160 Qasha Irfan yang mencatat masa terpantas sesi latihan dengan 48.509 pada hari Sabtu. Qasha berjaya sekali lagi mencatat masa terpantas bagi sesi kelayakkan yang berlangsung pada pagi Ahad dengan peningkatan masa ke 48.356 saat. Memasuki perlumbaan yang pertama, saingan sengit antara Qasha Irfan dan Al-Adam Mikael memihak kepada Al-Adam apabila bijak dengan mengikut rapat dibelakang Qasha sebelum memintas Qasha yang memberi sedikit ruang kepada Al-Adam. Kemenangan Al-Adam merupakan kemenangan pertama beliau setelah naik ke kategori 160cc. Tempat kedua dimenangi oleh Qasha Irfan dan tempat ketiga dimenangi oleh Rayqarl Alhayy. Disebelah petang, pertembungan sengit antara Qasha, Al-Adam dan Nufayl dalam perlumbaan kedua bagi merebut kedudukan pertama. Namun Qasha kekal fokus untuk tidak memberi ruang kepada dua pelumba dibelakang beliau sekali gus memenangi kembali perlumbaan ke-2 dalam kategori FIM MiniGP 160. Tempat kedua dimenangi oleh Al-Adam Mikail dan tempat ketiga dimenangi oleh Nufayl Darwisy.
Bagi kategori 190, Qabil Irfan yang mencatat masa terbaik dengan 46.450 hasil kombinasi empat sesi latihan pada hari Sabtu. Qabil sekali lagi berjaya catat peningkatan masa sedikit lebih baik dengan 46:423 saat. Qabil juga berjaya mencatat masa yang konsisten dalam semua sesi latihan dibawah masa 47 saat berbanding pelumba lain. Qabil yang bermula dengan baik bagi kedua-dua perlumbaan berjaya menguasai perlumbaan 1 & 2 tanpa diberi saingan rapat. Airel Marzuki yang sedang bersaing bagi kedudukan podium terpaksa melupakan seketika apabila beliau terbabas diselekoh pertama ketika memberi cabaran bagi kedudukan podium bagi perlumbaan satu. Qabil memenangi perlumbaan diikuti oleh Qayyim Razin ditempat kedua dan Adam Aiman ditempat ke-3.
Perlumbaan kedua sebelah petang bagi kategori yang sama FIM MiniGP 190, saingan ditempat yang kedua antara Qayyim dan Airel mencuri tumpuan sekali lagi sebelum Airel dipintas oleh pelumba lain setelah berlaku pelanggaran kecil antara kedua-dua pelumba. Qabil yang menguasai perlumbaan terlebih dahulu melintasi garisan penamatan untuk mengukuhkan kedudukan beliau dalam kategori ini. Tempat kedua dimenangi oleh Qayyim Razin dan tempat ketiga sekali lagi dimenangi oleh Adam Aiman.
Kategori baru RCB MiniMoto Championship yang mendapat perhatian ketika pusingan satu di Sepang turut dipertandingkan di Litar Horizon Beranang dengan 16 pelumba mengesahkan penyertaan bagi pusingan kedua termasuk pelumba cilik wanita, Adra Mikayla. Namun penyertaan Mikayla bukan sekadar penyertaan biasa. Sorakan gemuruh penonton dan ibu bapa memeriahkan pertandingan yang berlangsung. Semasa sesi kelayakkan, Fayyadh Anaqi mencatat masa terpantas dengan 57.647 saat untuk bermula pada kedudukan petak pertama perlumbaan. Memasuki perlumbaan pertama, saingan RCB MiniMoto Championship tertumpu pada Fayyadh dan Mikayla setelah Mikayla sudah membuat percubaan awal untuk memintas. Kesabaran Miyakla berhasil apabila berjaya memintas Fayyadh sebelum memenangi perlumbaan. Tempat kedua dimenangi oleh Fayyadh Anaqi dan tempat ke-3 dimenangi oleh Wan Haqim Al Mahdi.
Disebelah petang Fayyadh Anaqi yang tekad bangkit berjaya membuktikan kemampuan beliau dengan mempamerkan aksi yang cukup bertenaga dengan aksi pintas memintas antara beliau dan Adra Mikayla. Adra yang berjaya memintas pada satu ketika tidak diberikan ruang yang lama oleh Anaqi untuk kembali menguasai perlumbaan dan memenangi perlumbaan ke-2 RCB MiniMoto Championship. Tempat ke-3 dimenangi oleh Raqib Rozman.












