Tangkak, Johor, 22 Julai 2025 – FIM MiniGP Malaysia kini memasuki separuh musim bagi edisi 2025. Pusingan ketiga akan berlangsung di Litar Lumba Tangkak pada 26 & 27 Julai 2025. Litar ini yang terkenal dengan selekoh berkelajuan tinggi bakal menguji tahap keberanian dan kecekapan setiap pelumba.
Selain perlumbaan utama FIM MiniGP Malaysia dan SIC Ohvale Junior Championship yang telah bersama sejak 2021, kategori sokongan baharu iaitu RCB MiniMoto Championship yang diperkenalkan pada pusingan pertama di Litar Antarabangsa Kart Sepang turut akan beraksi di Tangkak buat julung kalinya. Kategori ini menyaksikan penyertaan pelumba cilik berusia seawal 6 hingga 9 tahun, satu pendedahan awal yang penting dan berpotensi mencungkil lebih ramai bakat baharu untuk masa depan sukan permotoran negara.
Dalam kategori FIM MiniGP 190, 10 pelumba Malaysia akan beraksi, manakala kategori FIM MiniGP 160 akan menyaksikan 16 pelumba bersaing, terdiri daripada 13 pelumba Malaysia, seorang dari Australia dan dua dari Indonesia. SIC Ohvale Junior Championship pula menghimpunkan 13 pelumba, dengan 11 daripadanya dari Malaysia serta masing-masing seorang dari Indonesia dan Singapura.
RCB MiniMoto Championship juga dijangka sengit dengan penyertaan 15 pelumba Malaysia. Pada pusingan kedua bertempat di Horizon Beranang Circuit sebelum ini, Wan Adra Mikayla mencuri tumpuan apabila memenangi Race 1 dan memberi saingan hebat kepada Fayyadh Anaqi dalam Race 2. Namun, Mikayla tidak akan bertanding minggu ini kerana telah melepasi had umur yang ditetapkan iaitu 9 tahun.
Lebih menarik, program Rakan Muda | Motoclinic: Ride, Learn & Discover turut akan berlangsung sempena Pusingan 3. Program ini terbuka kepada orang ramai dan memberi peluang kepada peserta untuk mendalami asas dunia perlumbaan serta teknik tunggangan motosikal yang selamat dan boleh diaplikasikan di jalan raya. Peserta juga berpeluang menunggang motosikal yang disediakan di dalam Litar Lumba Tangkak sambil dipantau oleh pelumba profesional.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan sendiri aksi pelumba masa depan dunia minggu ini di Litar Lumba Tangkak.











