TANGKAK, Johor (27 Julai 2025) – Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia 2025 meneruskan pusingan ketiga dengan aksi penuh mendebarkan apabila pelumba-pelumba muda tanah air semakin menyerlah dalam misi memburu podium. Litar Lumba Tangkak, Johor yang terkenal dengan selekoh berkelajuan tinggi sekali lagi menjadi medan ujian ketahanan mental dan kemahiran teknikal para pelumba dalam empat kategori utama: FIM MiniGP 190, FIM MiniGP 160, SIC Ohvale Junior Championship (110cc) dan kategori sokongan baharu, RCB MiniMoto Championship.
Dalam kategori perdana FIM MiniGP 190, pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan, meneruskan penguasaan cemerlang apabila memenangi kedua-dua perlumbaan, sekali gus mencatatkan empat kemenangan berturut-turut musim ini.
“Saya cuba kekal konsisten sejak sesi latihan lagi. Jentera berada dalam keadaan terbaik dan saya fokus satu selekoh demi satu. Saya gembira dapat capai dua kemenangan. Bagi saya, untuk mencapai kemenangan awal sangat penting, terutama bagi mengurangkan kesilapan dan menjaga ‘raceline’ dengan baik. Apapun, saya tak sabar untuk turun bersaing di Pusingan 4 kerana Litar LYL sangat menarik. Saya akan cuba mencipta kemenangan di sana,” ujar Qabil.
Dengan keputusan tersebut, Qabil kekal mendahului carta keseluruhan dengan 150 mata, diikuti dua pelumba Selangor, Adam Aiman dan Qayyim Razin, yang masing-masing kekal dalam kelompok tiga terbaik.
Saingan FIM MiniGP 160 pula menyaksikan dominasi adik Qabil, iaitu Qasha Irfan Azlan, yang turut mempamerkan tunggangan matang dan bertenaga untuk menjuarai kedua-dua perlumbaan selepas berjaya memintas pencabar dari Pahang, Al-Adam Mikail, di penghujung saingan.
“Saya berjaya cipta kemenangan selepas Adam melakukan kesilapan kecil. Saya tutup laluan di selekoh terakhir dan kekalkan kedudukan hingga penamat,” kata Qasha.
Kemenangan berganda itu membolehkan Qasha mengukuhkan cengkaman di tangga teratas carta keseluruhan dengan 136 mata.
Dalam SIC Ohvale Junior Championship (110cc), pelumba berusia 10 tahun dari Negeri Sembilan, Ziqry Rayyan, tampil dominan apabila menjuarai Perlumbaan 1 dan 2 dengan penuh yakin, tanpa memberi peluang kepada pencabar sepanjang 13 pusingan perlumbaan. Memulakan perlumbaan dari petak utama, Ziqry mengekalkan prestasi konsisten dan bijak mengawal tekanan daripada pelumba Selangor, Firash Naufal, yang menamatkan kedua-dua perlumbaan di tempat kedua. Pelumba Indonesia, Arby Thoriq, pula meraih podium tempat ketiga bagi kedua-dua saingan.
“Saya nampak pelumba di belakang semakin dekat, jadi saya terus tekan dan fokus hingga ke garisan penamat. Ketika itu saya hanya fikir untuk kekal di depan,” jelas Ziqry.
Hasil kemenangan tersebut, Ziqry kini melonjak ke tangga ketiga keseluruhan dengan 84 mata, manakala Arby kekal di tangga teratas dengan 109 mata, diikuti Firash dengan 100 mata.
Kategori sokongan RCB MiniMoto Championship turut mencuri perhatian apabila pelumba cilik dari Selangor, Faith Mikael, bangkit penuh bergaya untuk mencipta kemenangan sulung. Bermula dari petak ketiga, Faith, 8, enggan tunduk kepada tekanan walaupun saingan awal dikuasai pelumba tuan rumah, Wan Haqim Al Mahdi, 6.
Aksi matang yang dipamerkan Faith nyata membuahkan hasil apabila dia berjaya merapatkan jurang secara konsisten sebelum mengambil peluang daripada kesilapan Wan Haqim di selekoh terakhir. Tanpa menoleh ke belakang, Faith melintasi garisan penamat sebagai juara perlumbaan buat kali pertama dalam saingan kompetitif Minimoto, sekali gus dilihat salah seorang pencabar utama kejuaraan musim ini.
Wan Haqim yang cuba bangkit selepas insiden itu, terpaksa akur menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, manakala pelumba Negeri Sembilan, Yusof Iskandar, 7, berjaya mengekalkan prestasi konsisten untuk berada di kedudukan kedua.
Perlumbaan turut menyaksikan pendahulu keseluruhan, Fayyad Anaqi, melalui detik sukar apabila terjatuh pada penghujung perlumbaan dan sekadar berpuas hati di tempat keempat. Namun, dalam Perlumbaan Kedua, Fayyad, 9, membuktikan status selaku pelumba utama apabila bangkit dengan kemenangan bergaya, menebus kekecewaan terdahulu dan terus gah di persada teratas dengan kutipan 108 mata.
Wan Haqim pula memperbaiki kesilapan dengan menamatkan Perlumbaan Kedua di tempat kedua, sekali gus mengekalkan kedudukan selaku pencabar terdekat dengan 62 mata. Pelumba Kuala Lumpur, Raqib Rozman, pula kekal di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 58 mata.
Selepas aksi di Tangkak, pelumba-pelumba cilik negara kini bersiap sedia menghadapi Pusingan Keempat yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 10 Ogos di Litar Karting Antarabangsa LYL, sebelum musim ini melabuhkan tirai menerusi pusingan penutup di Litar RUD Karting Sepang pada 11 hingga 12 Oktober.
SENARAI PESERTA & KEDUDUKAN KESELURUHAN









ZULFAHMI KHAIRUDDIN
Pengurus Kejohanan, FIM MiniGP Malaysia
“Secara keseluruhan, bagi kategori FIM MiniGP 190, semestinya Qabil terus menjadi pilihan utama. Qayyim dan Airel memberi tekanan di awal perlumbaan Race 1 dan Race 2, namun kedua-duanya terjatuh ketika cuba mengejar Qabil. Kedua-dua perlumbaan dimenangi oleh Qabil, dan saya percaya pelumba lain sedang berusaha keras untuk mengejarnya.
Insiden seperti yang dialami Qayyim dan Airel adalah perkara biasa, terutamanya apabila sedang mencabar pelumba terbaik di grid. Mereka menunjukkan kelajuan luar biasa dan keberanian untuk bersaing, namun saya berharap di pusingan seterusnya mereka akan tampil lebih kuat dan mampu memberi saingan lebih sengit kepada Qabil.
Bagi kategori 160, Qasha dan Al-Adam menunjukkan aksi terbaik minggu ini. Tahniah juga kepada semua pemenang termasuk Ziqri Rayyan dalam kategori 110.
Untuk kategori MiniMoto, kita dapat lihat perkembangan positif anak-anak muda yang lebih kecil. Alhamdulillah, semuanya selamat dan saya benar-benar bangga dengan kemajuan mereka.
Saya juga gembira secara keseluruhan kerana aspek keselamatan di Litar Tangkak telah ditambah baik berbanding tahun lepas. Bagi pusingan akan datang di Litar LYL, saya masih belum muktamadkan layout yang akan digunakan kerana terdapat banyak kombinasi layout di sana. Kebanyakan pelumba belum pernah menunggang di litar itu, jadi saya percaya ia akan memberi peluang sama rata dan menguji tahap adaptasi mereka. Saya harap kita semua dapat tampil dengan prestasi lebih baik di pusingan akan datang, yang bakal berlangsung di Litar LYL iaitu sebuah litar yang cukup mencabar.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PETRONAS Sepang International Circuit, Kementerian Belia dan Sukan, Tourism Malaysia serta pihak Litar Lumba Tangkak atas kerjasama pada minggu ini. Tidak dilupakan juga kepada semua penaja teknikal FIM MiniGP Malaysia, SIC Ohvale Junior Championship dan RCB MiniMoto Championship, tanpa sokongan mereka, acara ini tidak mungkin berlangsung dengan baik.”
