
CHERAS, SELANGOR (10 Ogos 2025) – Pelumba berbakat negara, Qabil Irfan Azlan mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori 190cc FIM MiniGP Malaysia 2025 selepas mengekalkan rekod sempurna dengan lapan kemenangan berturut-turut musim ini.
Aksi mantap anak jati Terengganu berusia 13 tahun itu sekali lagi terserlah apabila beliau menamatkan Pusingan 4 di LYL International Karting Circuit hari ini dengan menyapu bersih kemenangan dalam kedua-dua perlumbaan, sekali gus mengumpul 200 mata penuh dan menamatkan saingan lebih awal walaupun musim masih berbaki satu pusingan.
Kejayaan tersebut turut memastikan Qabil layak secara automatik mewakili Malaysia ke Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2025 yang akan berlangsung di Valencia, Sepanyol hujung tahun ini.
“Musim ini amat istimewa kerana saya berjaya mengekalkan prestasi konsisten sejak perlumbaan pertama. Gelaran ini adalah hasil usaha berterusan pasukan, keluarga, penaja, dan semua yang sentiasa menyokong saya.
“Apapun, saya akan terus bekerja keras terutama menjelang persiapan ke Valencia memandangkan cabaran di sana pasti lebih sengit. Jadi, saya perlu berusaha lebih keras,” kata Qabil yang menjuarai kategori sama pada musim 2024.
Kemenangan tahun ini menambah koleksi kejuaraan Qabil yang sebelum ini pernah meraih gelaran 160cc pada 2022 dan 2023, selain menjuarai SIC Ohvale Junior Championship 110cc pada 2021 dan SIC MiniGP Championship 2021. Sementara itu, perebutan dua lagi tiket ke Valencia bagi kategori 190cc akan ditentukan pada pusingan terakhir di RUD Karting Sepang pada 11-12 Oktober 2025, dengan Qayim Razin (124 mata), Adam Aiman (123 mata) dan Malek Ridha (112 mata) masih berpeluang melayakkan diri.
Perlumbaan FIM MiniGP 160cc
Persaingan kejuaraan kategori FIM MiniGP 160cc kini berada pada kemuncak apabila hanya dua mata memisahkan dua pencabar utama, Al-Adam Mikail dan Qasha Irfan Azlan, menjelang pusingan terakhir di RUD Karting Sepang pada 11-12 Oktober depan.
Al-Adam, juara SIC Ohvale Junior Championship 2024, kini mengumpul 158 mata selepas menjuarai Perlumbaan 2 di Pusingan 4 LYL International Karting Circuit hari ini, sekali gus merapatkan jurang dan meletakkan dirinya di landasan terbaik untuk memburu gelaran. Qasha pula menghuni tangga kedua keseluruhan dengan 156 mata selepas terjatuh dalam Perlumbaan 1 dan gagal mengutip sebarang mata. Bagaimanapun, pelumba muda itu bangkit semula dalam Perlumbaan 2 meskipun berdepan masalah kerosakan brek.
“Saya tampil agresif di awal perlumbaan, tetapi kerosakan brek pada penghujung saingan merencatkan usaha saya. Saya terpaksa menggunakan brek depan sepenuhnya dan hampir melanggar pelumba hadapan. Saya bersyukur kerana berjaya menamatkan perlumbaan dan akan bangkit di Sepang,” ujar Qasha. Perlumbaan 1 menyaksikan pelumba Terengganu, Daniel Syazwan, melakar kemenangan sulung musim ini – satu pencapaian bermakna dalam kariernya. Podium dilengkapkan oleh rakan senegeri Aryan Mikhail di tempat kedua dan pelumba Kelantan Nufay Darwisy di tempat ketiga.
Keputusan pusingan terakhir di Sepang dijangka menjadi penentu mutlak siapa yang akan mengungguli gelaran 160cc musim 2025, menjanjikan aksi penuh dramatik antara dua nama besar muda MiniGP negara. Podium Perlumbaan 1 dilengkapkan oleh Aryan Mikhail dari Terengganu di tempat kedua, manakala pelumba Kelantan, Nufay Darwisy, di tempat ketiga.
Aksi Dramatik SIC Ohvale Junior Championship
Pusingan kali ini dalam SIC Ohvale Junior Championship berlangsung penuh debaran dengan gabungan aksi hujan lebat, pintasan saat akhir dan kebangkitan juara yang mencetuskan dua pemenang berbeza dalam dua perlumbaan. Dalam Perlumbaan 1 yang berlangsung di bawah hujan lebat, pelumba Negeri Sembilan, Akid Darwisy muncul juara penuh bergaya dengan catatan masa 16 minit 18.664 saat.
Bermula dari petak ketiga, Akid memilih strategi berhati-hati yang membuahkan hasil apabila dua pelumba di hadapan terjatuh di pertengahan saingan. Walaupun sempat dipintas pelumba Indonesia Arby Thoriq dan bersaing sengit dengan wakil Sabah Abdurrahman Izzuwandi, Akid kekal tenang menunggu ruang untuk menyerang.
Pada dua pusingan terakhir, Akid memintas Abdurrahman untuk mengesahkan kemenangan, meninggalkan Abdurrahman di tempat kedua manakala Arby di tempat ketiga.
Perlumbaan 2 menyaksikan kebangkitan Firash Naufal dari Selangor yang menebus kekecewaan selepas terjatuh dalam saingan pertama. Bermula dari petak kedua, Firash mengawal perlumbaan dengan kemas untuk meraih kemenangan sulung pada pusingan ini.
Arby Thoriq sekali lagi mempamerkan konsistensi dengan menamatkan saingan di tempat kedua, manakala pelumba Negeri Sembilan Ziqry Rayyan melengkapkan podium di tempat ketiga. Dengan keputusan ini, pelumba Indonesia, Arby Thoriq kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 145 mata, diikuti Firash Naufal dari Selangor (125 mata) dan pelumba Negeri Sembilan, Ziqry Rayyan (100mata), sekali gus membuka peluang Arby untuk mengesahkan kejuaraan pada pusingan terakhir Oktober nanti di RUD Karting Sepang.
RCB MiniMoto Championship
Dalam saingan RCB MiniMoto, pelumba cilik Selangor berusia 9 tahun, Fayyad Anaqi mengesahkan gelaran keseluruhan selepas mengumpul 135 mata, walaupun hanya menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ketiga. Fayyad yang bakal beraksi di kategori 110cc musim depan bertekad menutup musim dengan dua kemenangan di Sepang, sambil mengakui sukar mencipta kemenangan kali ini kerana bermula di petak kesembilan pada Perlumbaan 1.
“Saya gembira sebab berjaya menamatkan perlumbaan hari ini di kedudukan podium tempat ketiga. Semestinya saya mahu mencipta kemenangan di sini tetapi sukar bermula di petak 9. Apapun, saya sangat gembira kerana mengesahkan kemenangan lebih awal.” ujarnya pelumba Selangor tersebut.
Perlumbaan 1 dimenangi Adam Haris dari Selangor dan juara Pusingan 3 di Tangkak, Johor iaitu Faith Mikael menamatkan perlumbaan tempat kedua dan Ayden Maleeq, 6 tahun mengakhir perlumbaan tempat ketiga. Pada Perlumbaan 2, Faith Mikael mencuri tumpuan apabila menjuarai saingan tersebut dan diikuti Aydean Maleeq dan Fayyad Anaqi melengkap podium tempat ketiga.









Untuk kategori 160cc, saingan dicabar dengan keadaan hujan pada sebelah pagi yang menyaksikan banyak pelumba terlibat dengan kemalangan. Perebutan kejuaraan antara Qasha Irfan dan Al-Adam akan diteruskan ke pusingan akhir dan ini pastinya akan menjadikan perlumbaan di sana lebih menarik. Bagi kategori 110cc, kita dapat saksikan persaingan yang hebat antara tiga pelumba utama iaitu Arby Thoriq, Firash Naufal dan Ziqry Rayyan yang memberikan saingan sengit dari awal hingga akhir.
Tarikan utama sudah semestinya adalah kategori RCB MiniMoto. Tahniah kepada Fayyad Anaqi yang menjadi pelumba pertama mengesahkan kejuaraan keseluruhan bagi Kejuaraan RCB MiniMoto musim ini. Apa yang lebih menggembirakan, kategori MiniMoto berjalan lancar tanpa sebarang masalah teknikal yang besar pada minggu ini. Terima kasih kepada semua kru yang bertugas dan memberikan komitmen yang sangat baik, serta kepada semua penaja yang sentiasa membantu menjayakan acara ini.”
