SEPANG, SELANGOR, 7 Jun 2024 – Saingan Pusingan 2 musim 2024 untuk FIM MiniGP Malaysia Series dan SIC Ohvale Junior Championship bakal berlangsung hujung minggu ini (8 dan 9 Jun) di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang. Pihak penganjur dan rakan-rakan penaja menzahirkan rasa gembira melihat kemajuan kedua-dua kejuaraan ini dan prestasi dilihat amat memberangsangkan pada saingan pembukaan akhir bulan lepas di Litar Tangkak, Johor.
Selaku penganjur, Zulfahmi Khairuddin mengakui teruja dengan kesungguhan minat dan semangat yang ditunjukkan oleh para pelumba khususnya di kalangan pelumba ‘rookies’ dalam saingan SIC Ohvale Junior Championship, yang rata-rata berusia antara 9 dan 10 tahun.
Sebagai pentas awal dalam memperkenalkan pelumba dengan saingan di peringkat yang kompetitif secara profesional, Zulfahmi berkata kejuaraan SIC Ohvale Junior Championship adalah kejuaraan atau platform yang begitu baik bagi proses pembangunan bakat secara berstruktur dalam penyediaan para pelumba bersaing di peringkat lebih tinggi.
Selaras dengan misi menggalakkan penglibatan keluarga dalam aktiviti sukan lasak dan mempromosi sukan rekreasi dua roda, pihak penganjur akan menganjurkan kejuaraan ini bersama acara M8 Malaysia Pushbike GP Series bersempena dengan saingan Pusingan 2 ini di Sepang.
M8 Malaysia Pushbike GP Series, akan mengadakan pusingan pembukaan selama dua hari pada 8 dan 9 Jun di perkarangan Welcome Centre, Petronas SIC yang melibatkan kanak-kanak dari dalam negara dan penglibatan kanak-kanak luar negara termasuk Thailand, Vietnam dan Indonesia.
“Kami melihat acara ‘pushbike’ ini merupakan platform dan pendedahan awal yang baik untuk kanak-kanak dan golongan remaja kepada sukan lumba motosikal. Kami harap anak-anak ini dapat digilap untuk ke peringkat seterusnya dan boleh melangkah ke kejuaraan SIC Ohvale Junior Championship,” tambah Zulfahmi.
Pada saingan Pusingan 1 kejuaraan SIC Ohvale Championship 2024 di Tangkak, pelumba ‘rookie’ berusia sembilan tahun yang berasal dari Pahang, Al-Adam Mikail memenangi kedua-dua perlumbaan; sekali gus menjuarai tempat pertama dengan mengutip 50 mata kejuaraan. Manakala pelumba Terengganu, Nufayl Darwisy menduduki tempat kedua keseluruhan dengan pungutan 40 mata dan Hairith Fezzrul Iman di tempat ketiga dengan 24 mata.
Dalam kejuaraan FIM MiniGP Malaysia kelas 160cc, Airel Marzuki dan pelumba Vietnam, Nguyen Viet Tuan berkongsi tempat pertama dengan masing-masing mengutip 41 mata. Mereka diikuti rapat oleh Qayyim Razin, yang hanya ketinggalan satu mata dengan pungutan 40 mata. Qasha Irfan menduduki tempat keempat dengan 26 mata dan dijangka akan memberikan saingan sengit kepada ketiga-tiga pendahulu kejuaraan ini di Sepang nanti.
Qabil Irfan, Juara SIC Ohvale Junior Championship pada tahun 2021 dan Juara dua kali FIM MiniGP Malaysia kelas 160cc, menceburi kategori baru pada saingan 190cc. Pelumba dari Kuala Terengganu yang bergelar Juara dunia kategori 160cc FIM MINIGP yang diadakan di Valencia Sepanyol tahun lepas dijangka terus mendominasi saingan Pusingan 2 MiniGP 190cc di Sepang nanti.
Dengan kutipan sempurna 50 mata, Qabil Irfan mendahului juara bertahan Farish Hafiy dalam saingan kategori 190cc dengan 17 mata. Adam Aiman menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 29 mata manakala Adib Arsyad di tempat keempat dengan 26 mata. Zulfahmi mengulas berdasarkan kedudukan ini, pihak penganjur bersedia membantu memberikan latihan tambahan kepada para pesaing Qabil untuk meningkatkan cabaran mereka pada pusingan-pusingan akan datang termasuk di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang ini.
