BERANANG, 22 Mei 2025 – Pusingan kedua Kejohanan FIM MiniGP Malaysia Series bakal berlangsung di Litar Horizon Beranang pada 24 hingga 25 Mei 2025 ini bakal menghangatkan suasana litar dengan aksi-aksi pelumba cilik dan bakat muda dengan penampilan aksi yang lebih bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Dalam pusingan 1 di Rud Karting Sepang yang lalu, Kejohanan FIM MiniGP Malaysia Series mempamerkan keputusan dimana bagi kategori MiniGP Malaysia 190, Qabil Irfan mendominasi pungutan mata keseluruhan apabila memenangi kedua-dua perlumbaan pada hari Ahad. Bagi kategori FIM MiniGP Malaysia 160 pula, dua pelumba mencuri perhatian dengan mata yang terkumpul dibezakan hanya dengan satu mata melalui Qasha Irfan dan Al-Adam Mikail.
Kategori SIC Ohvale Championship 110 pula, pelumba dalam negara kurang menonjol apabila kedudukan keseluruhan mata dikuasai oleh pelumba Indonesia dan China. Masing-masing pelumba dari Indonesia berkongsi 45 mata yang sama untuk berada dikedudukan teratas melalui Arby Thoriq dan Alvin Keanu manakala kedudukan ke-3 sehingga ke-5 diisi oleh pelumba negara China. Namun FIM MiniGP Malaysia melalui ZK Racing dan RCB telah memperkenalkan kategori baru bagi mencungkil lebih banyak bakat baru yang berkualiti sebelum mereka mampu bersaing dalam kategori 110cc dengan memperkenalkan RCB MiniMoto Championship. Bagi pusingan pertama tempoh hari, Fayyadh Anaqi memenangi Perlumbaan 1 sebelum Perlumbaan 2 dibatalkan atas faktor cuaca. Beberapa minggu lepas penganjur kejohanan, ZK Racing telah mengadakan Sesi Pemilihan Tambahan RCB MiniMoto Championship pada 11 Mei di Litar Horizon Beranang disebabkan menerima sambutan positif untuk menyertai program yang jelas hala tuju dan format pertandingan yang selari dengan kejohanan sedia ada. Sebelum ini, dalam sesi pemilihan pertama 13 peserta telah dipilih. Bagi memberi lebih peluang, ZK Racing telah menaikkan jumlah pelumba yang akan bermula di grid perlumbaan kepada 18 peserta. Dalam sesi pemilihan kedua yang diadakan di Litar Horizon Beranang, 5 daripada 8 peserta telah disenarai pendek dan lebih menarik, seorang pelumba wanita dipilih dalam senarai pendek. Ini beri gambaran positif usaha dalam memupuk penyertaan lebih ramai bakat wanita dalam sukan permotoran.
Perlumbaan ke-3 dan ke-4 FIM MiniGP yang akan berlangsung pada minggu ini pastinya lebih sengit di Litar Horizon Beranang. 13 selekoh keseluruhan dengan 6 kiri dan 7 kanan serta panjang litar berukuran 910 meter perlu dikuasai oleh setiap pelumba sebelum memenangi perlumbaan.
Dalam penganjuran yang sama hujung minggu ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Rakan Muda bakal memberi peluang dan pendedahan kepada 30 peserta terawal dalam program MotoClinic : Ride, Learn & Discover yang bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai teknik tunggangan yang betul serta aspek penjagaan motosikal yang menyeluruh.
Dalam program ini peserta berpeluang mengikuti satu jam kelas bersama Zulfahmi Khairuddin, pengalaman menunggang motosikal dalam keadaan yang selamat, pendedahan mengenai kerjaya dan lawatan mengenai bagaimana perlumbaan motosikal dianjurkan. Program Rakan Muda : Ride, Learn & Discover ini akan diadakan pada Sabtu 24 Mei bermula jam 2 petang di lokasi yang sama Litar Horizon Beranang. Penyertaan bagi program ini adalah percuma dan terbuka kepada semua yang berminat.
Jika mempunyai sebarang pertanyaan mengenai program ini sila hubungi Urusetia MotoClinic, Encik Iqbal Hakim di 017-3923522.






Cabaran pusingan kedua akan berlangsung di Litar HBC, sebuah litar yang kecil, kurang daripada satu kilometer panjangnya, yang menuntut tahap fokus yang sangat tinggi daripada semua pelumba. Ia merupakan litar yang sukar untuk memintas, menjadikan sesi kelayakan amat penting. Pelumba yang bermula di petak hadapan mempunyai peluang besar untuk memenangi perlumbaan.
Bagi perlumbaan SIC Ohvale Junior Championship, saya berharap pelumba Malaysia dapat menunjukkan peningkatan selepas keputusan kurang memberangsangkan di Pusingan 1 di Sepang Kart International Circuit. Saya juga menjangkakan saingan sengit dalam kategori FIM MiniGP 160. Sementara itu, dalam kategori FIM MiniGP 190, Qayyim Razin dan Qabil Irfan dilihat sebagai pilihan utama minggu ini dan dijangka memberi saingan rapat.
Secara keseluruhan, penyertaan pelumba antarabangsa untuk pusingan kali ini agak kurang berikutan pertindihan jadual antara MiniGP Malaysia dan beberapa acara luar negara. Terima kasih, dan saya ingin menjemput semua pihak untuk hadir menyaksikan aksi hebat pelumba-pelumba cilik negara kita.

