SEPANG, 19 Oktober – Qabil Irfan dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas perdana 190cc untuk siri kejuaraan FIM MiniGP Malaysia 2024 dengan bergaya selepas melengkapkan penguasaan penuh sepanjang musim dengan mencipta kemenangan berganda pada Pusingan 5, yang diadakan di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang di sini hari ini.
Membuat kutipan sempurna 250 mata, Qabil Irfan, yang merupakan juara dunia kelas 160cc tahun lepas, akan diiringi ke Valencia oleh naib juara kelas 190cc, Farish Hafiy, yang memenangi tempat kedua pada kedua-dua perlumbaan hari ini untuk mengumpul 193 mata dan Adam Aiman ditempat ketiga dengan mengumpul 121 mata.
Kejuaraan kelas 160cc, yang dipegang dua musim berturut-turut oleh Qabil Irfan, kini dimiliki oleh pelumba Vietnam, Nyugen Viet Tuan, yang mencipta kejayaan sensasi untuk memenangi kedua-dua perlumbaan; sekali gus memintas Ariel Marzuki dengan hanya 1 mata.
Selepas 10 perlumbaan dan lima pusingan, Viet Tuan mengumpul 208 mata; berbanding kutipan 207 mata oleh Airel Marzuki. Tempat ketiga keseluruhan dimenangi oleh Qayyim Razin, yang mengumpul 158 mata, yang sekadar mencatat tempat kelima untuk kedua-dua perlumbaan hari ini.
Dengan kemenangan ini, Viet Tuan dan Ariel Marzuki memenangi hak untuk bersaing di Kejuaraan Akhir Dunia di Valencia untuk kelas 160cc. Mereka mempunyai tugas berat untuk mempertahankan mahkota kejuaraan dunia yang dimenangi oleh Qabil Irfan tahun lepas.
Qayyim Razim akan turut bersaing di Kejuaraan Akhir Dunia di Valencia mewakili FIM MiniGP Indonesia selepas pelumba negara itu muncul juara keseluruhan saingan kategori 190cc FIM MiniGP Indonesia 2024.
Dalam saingan SIC Ohvale Junior Championship, Al-Adam Mikail mencipta satu lagi kemenangan berganda untuk mengesahkan kejuaraan keseluruhan dengan pungutan 241 mata untuk mengatasi Nafayl Darwisy, yang mengumpul 170 mata termasuk 40 mata yang dikutipnya hari ini. Tempat ketiga keseluruhan dimenangi oleh Hairith Fezzrul Iman dengan 126 mata.

“Tahun 2024 berjalan dengan lancar, dan saya berpuas hati dengan keputusan yang dicapai. Walaupun kita tidak memenangi keseluruhan kejuaraan dalam kategori 160, saya percaya keputusan ini adil.
Dalam kategori 110 dan 190, kita dapat melihat dominasi daripada Al-Adam dan Qabil Irfan. Namun, untuk kategori 160, terdapat persaingan sengit antara tiga pelumba utama iaitu Qayyim Razin, Airel Marzuki, dan Nguyen Viet Tuan.
Saya berharap pada tahun hadapan, pelumba dari kategori 110 akan naik ke kategori 160, dan kita dapat mencari pelapis baru untuk kategori 110. Bagi kategori 190, tahun depan adalah tahun ketiga penganjuran, dan saya berharap pelumba Malaysia dapat menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang, serta berharap Qabil masih akan berlumba dalam Malaysia Series pada tahun hadapan.
Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong, termasuk SIC, KBS, MAM, dan seluruh pasukan yang telah melaksanakan program ini dengan baik.”
