BERANANG, SELANGOR, 4 Ogos 2024 – Kejuaraan FIM MiniGP Series Malaysia menutup saingan Pusingan 4 di Horizon Beranang Circuit dengan saingan semakin sengit untuk kejuaraan 160cc apabila Qayyim Razin menewaskan pendahulu kejuaraan Airel Marzuki dalam kedua-dua perlumbaan yang diadakan dengan penuh mencabar di litar yang basah di sini hari ini.
Dengan kemenangan berganda ini, Qayyim Razin menambah kutipan mata kejuaraan kepada 136 mata sekali gus merapatkan diri dengan Airel Marzuki, yang terpaksa berpuas hati dengan dua tempat kedua di Beranang. Mengutip 40 mata, Airel Marzuki kini mengumpulkan 167 mata; dengan tangga kedua diduduki oleh pelumba Vietnam Nguyen Viet Tuan dengan 158 mata.
Saingan kelas 190cc terus didominasi sepenuhnya oleh Qabil Irfan, yang terus gagah di persada kejuaraan dengan kutipan sempurna 200 mata daripada lapan perlumbaan musim ini. Apapun, skrip yang menarik di Horizon Beranang Circuit ini dihidangkan oleh juara bertahan, Farish Hafiy, yang menghadapi kesukaran pada sesi kelayakan untuk mencatat masa 56.089 mengutip masa lap kesepuluh terbaik.
Bermula dari petak ke 10 pada kedua-dua perlumbaan, Farish Hafiy mempamerkan prestasi cemerlang untuk muncul naib juara pada kedua-dua Perlumbaan 1 dan 2; walaupun ketinggalan agak jauh daripada Qabil Irfan, yang terus membuktikan bahawa beliau dalam kelas yang tersendiri dan bersedia untuk menggegar saingan World Finals di Valencia, Sepanyol pada November ini.
Dalam saingan SIC Ohvale Junior Championship, Al-Adam Mikail terus menguasai kejuaraan dengan mencipta satu lagi kemenangan berganda untuk saingan di Horizon Beranang Circuit dan mengukuhkan kedudukan keseluruhan di persada kejuaraan dengan mengutip 191 mata. Dia mendahului Nufayl Darwisy, yang mengutip 131 mata dan ketinggalan semakin jauh selepas keputusan kurang memberangsangkan pada pusingan ini.
Terpantas pada sesi kelayakan dengan catatan masa 56.112 saat di sekeliling litar sepanjang 910 meter ini, Al Adam memaparkan tahap kematangan yang tinggi apabila memenangi Perlumbaan 1, yang disambung semula untuk lima lap selepas diberhentikan. Kemenangan pada Perlumbaan 2 lebih mudah dengan Al Adam menamatkan saingan 15 lap itu 11.412 saat di hadapan Hairith Fezzrul Iman. Qholbu Khalis menduduki tempat ketiga dengan Rishi Keishan Kishi di tempat keempat.
Saingan penutup dan Pusingan 5 FIM Malaysia MiniGP Series 2024 akan diadakan di Litar Go-Kart Antarabangsa Sepang pada 19 dan 20 Oktober.

“Pertama sekali, saya merakamkan rasa syukur atas kelancaran penganjuran acara ini di litar yang baru di Beranang Horizon Circuit. Ucapan penghargaan saya kepada inspektor litar dari MAM, yang bertungkus lumus bekerjasama dengan para pegawai Horizon Beranang Circuit untuk menyiap-sediakan litar untuk perlumbaan minggu ini. Saya amat gembira perlumbaan berjalan dengan selamat dan lancar tanpa insiden khususnya dalam keadaan cuaca yang mencabar hari ini.
Saya juga gembira keputusan untuk mengadakan perlumbaan di sini di Lembah Klang adalah tepat. Kita lihat ramai ahli keluarga dan penyokong turun di Horizon Beranang Circuit ini untuk memberi sokongan kepada para pelumba.
Mengenai saingan kelas 160cc, saya gembira dengan prestasi para pelumba khususnya Qayyim Razin yang mencipta kemenangan berganda untuk membuka peluang kepada beliau mencabar Airel Marzuki dan pelumba Vietnam, Nguyen Viet Tuan untuk kejuaraan kelas 160cc ini dan tempat untuk bersaing di World Finals di Valencia, Sepanyol. Ini menjadikan saingan pusingan akhir nanti lebih menarik dan lebih hebat.”
