LANGKAWI, 10 Julai 2024 – Saingan FIM MiniGP Malaysia Series 2024 memasuki saingan pertengahan musim hujung minggu ini dengan Litar MORAC Adventure Park, Langkawi menghidangkan pengalaman baru bagi para pelumba, yang kebanyakan mereka belum pernah bersaing di litar mencabar sepanjang 1,300 meter ini khususnya para peserta remaja dalam kejuaraan SIC Ohvale Junior Championship.
Selepas Litar Lumba Tangkak di Johor pada hujung bulan Mei sebelum disusuli saingan di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang bulan lepas, para peserta kini singgah di pulau legenda Langkawi untuk meneruskan perjuangan mereka bagi bergelar juara dalam kelas persaingan kelas remaja 110cc, kategori 160cc dan kelas perdana 190cc serta menyalakan peluang untuk mewakili negara pada saingan World Finals di Valencia, Sepanyol pada November ini.
Diiktiraf sebagai litar lumba berkelas dunia, trek dengan 21 selekoh mencabar di pulau Langkawi ini akan menghidangkan ujian getir yang menuntut para pelumba untuk berada dalam keadaan fizikal dan mental di tahap tertinggi di samping skil kemahiran menunggang yang optimum untuk mengatasi para pesaing masing-masing.
Bagi menyiapkan para pelumba untuk saingan pusingan ini, mereka akan mempunyai empat sesi latihan pada hari Sabtu dengan sesi kelima pada pagi Ahad sebelum saingan kelayakan dan kemudiannya, dua perlumbaan untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam persada kejuaraan.
Selepas dua pusingan, saingan SIC Ohvale Junior Championship 110cc dipimpin oleh Al-Adam Mikail dengan pungutan 91 mata; dengan Nufayl Darwisy sembilan mata di belakang dengan 81 mata dan penunggang Vietnam Nguyen Minh Tuan, Harith Fazzul Iman dan Rayqarl Alhayy berkongsi tempat ketiga dengan 42 mata.
Saingan sengit disaksikan dalam kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 160cc dengan pelumba Vietnam, Nguyen Viet Tuan mendahului saingan dengan kutipan 86 mata dan hanya sembilan mata di hadapan Airel Marzuki, yang mempunyai 77 mata. Qayyim Razin menduduki tempat ketiga dengan mengutip 64 mata.
Saingan kelas perdana 190cc diungguli oleh pelumba sensasi negara, Qabil Irfan, yang mencatat kutipan sempurna 100 mata selepas empat perlumbaan. Tempat kedua diduduki oleh juara bertahan, Farish Hafiy dengan 73 mata dan Adam Aiman di tempat ketiga dengan 61 mata.

“Saingan Pusingan 3 bakal berlangsung di Litar Lumba MORAC Langkawi, yang merupakan litar yang sangat mencabar untuk para pelumba khususnya bagi kebanyakan daripada mereka yang belum pernah mempunyai pengalaman berlumba di sini.
Selepas dua pusingan, kita menyaksikan para pelumba negara dicabar hebat oleh para pelumba antarabangsa khususnya di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang. Saya lihat ramai pelumba negara menyahut cabaran ini dengan menggiatkan latihan bagi menghadapi saingan Pusingan 3. Jadi, saya jangkakan saingan sengit dalam kelas 110cc dan 160cc.
Bagi kelas 190cc, saya jangkakan Qabil Irfan akan terus mengungguli saingan. Apapun, harapan saya adalah untuk melihat para pencabar beliau dalam kelas ini untuk meningkatkan usaha mereka dan memberi saingan sesengit mungkin untuk Qabil Irfan di Langkawi nanti.”
