VALENCIA, 24 November 2023 – Pelumba remaja negara, Qabil Irfan Azlan melakar sejarah baru sukan pemotoran negara dengan menjulang nama Malaysia di pentas sukan pemotoran antarabangsa apabila muncul juara keseluruhan kelas 160cc untuk siri kejuaraan FIM MiniGP Dunia, yang berlangsung di Valencia, Sepanyol menjelang saingan penutup kejuaraan MotoGP Dunia 2023 di sini hujung minggu ini.
Terpantas dalam sesi ujian masa dan kelayakan, Qabil Irfan, yang membuat penampilan kedua dalam World Finals, nyata tiada tandingan dengan memenangi ketiga-tiga perlumbaan yang telah diadakan untuk membuat kutipan sempurna 100 mata. Rakan senegara Ariel Marzuki, yang membuat penampilan sulong di Valencia, turut cemerlang untuk melayakkan diri ke saingan Perlumbaan Akhir dan menduduki tempat ke 14 keseluruhan dengan mengutip 11 mata.
Masih berumur 11 tahun, pelumba dari Kuala Terengganu itu memperagakan semangat jitu dan keyakinan tinggi mengatasi usianya untuk mencipta sejarah baru negara dengan membuka peluang kepada kibaran Jalur Gemilang di podium kemenangan dan lagu kebangsaan Negaraku berkumandang sebanyak tiga kali di Litar Ricardo Tormo.
Selepas memenangi Perlumbaan 1, Qabil meneruskan momentum untuk mengulangi kejayaan pada Perlumbaan 2 untuk mengatasi 19 penunggang lain dengan penunggang Jepun, Kotaro Togashi menyusiri beliau di tempat kedua dan Ethan Sparks dari Britain di tempat ketiga. Airel menduduki tempat ke 12 untuk perlumbaan berkenaan.
Menawarkan mata berganda, Perlumbaan Superfinal menyerlahkan kehebatan Qabil, yang bermula cemerlang dari petak pertama untuk terus mendahului saingan 20 lap itu daripada awal hingga ke kibaran bendera kemenangan. Ariel bernasib malang kerana terjatuh; sekali gus gagal menamatkan perlumbaan Superfinal, yang menyaksikan Togashi di tempat kedua dan Enzo Zaragoza di tempat ketiga. Ini memberikan Qabil tambahan 50 mata untuk meletakkan beliau di persada kejuaraan dengan 100 mata; Togashi di tempat kedua keseluruhan dengan 76 mata dan pelumba dari negara tuan rumah, Enzo Zaragoza di tempat ketiga dengan 65 mata.
Saingan kelas 190cc menyaksikan Farish Hafiy sebagai pelumba tunggal pada saingan akhir selepas cabaran dua penunggang negara lain, Adi Putra dan Emil Idzhar tersekat dalam pusingan kelayakan. Perlumbaan 1 menyaksikan Farish Hafiy menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dengan kemenangan dimiliki oleh pelumba Sepanyol, Alvaro Lucas.
Malang menimpa Farish Hafiy pada Perlumbaan 2 apabila beliau terjatuh dan terpaksa berpuas hati dengan tempat ke 13 dan tiga mata. Namun, anak muda dari Bandar Seri Putra, Selangor itu bangkit semula pada Perlumbaan Superfinal untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat untuk mengakhiri kejuaraan dunia di tempat kelima keseluruhan dengan 38 mata. Pelumba Sepanyol, Alvaro Lucas dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan penunggang Itali, Lorenzo Pritelli sebagai naib juara.

Untuk kelas 190cc, Adi Putera dan Emil Idzhar tidak berjaya melayakkan diri ke Perlumbaan Akhir. Tahniah kepada Farish Hafiy, yang berjaya untuk menempatkan diri dalam lima kelompok teratas kelas 190cc FIM MiniGP World Finals.
Pencapaian dalam kelas 160cc sangat membanggakan dengan Qabil Irfan bukan saja muncul juara dunia; tetapi memenangi kesemua perlumbaan di samping mendapat ‘pole position’. Ariel Marzuki juga cemerlang dalam penampilan pertama beliau di World Finals.
Tentunya, ini adalah saat yang amat membanggakan bagi kami di Malaysia khususnya pasukan ZK Racing kerana bersama-sama membantu Qabil Irfan menjadi juara dunia. Ini adaalah kejayaan yang julung kali Malaysia mempunyai juara dunia dalam sukan pemotoran. Saya harap ia akan meletakkan Malaysia di tahap yang lebih baik dan menjadi pemangkin kepada usaha-usaha menghasilkan lebih ramai pelumba berbakat. Saya harap semua pihak khususnya SIC, MAM dan KBS akan terus menyokong usaha menjadikan sukan pemotoran sebagai sukan yang penting di Malaysia dan kita dapat melahirkan lebih banyak lagi pelumba seperti Qabil Irfan.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan media yang banyak memberi liputan dan menyokong usaha-usaha ZK Racing. Saya akan meneruskan usaha bersama-sama pasukan saya untuk terus memajukan sukan pemotoran Malaysia. In syaa Allah.
Pencapaian Qabil Irfan di World Finals di sini semestinya adalah satu pencapaian yang amat menakjubkan kerana buat pertama kami, Malaysia mempunyai juara dunia dalam sukan pemotoran.
Kami di ZK Racing cukup gembira dan teruja kerana dapat bersama-sama dengan Qabil Irfan dalam perjalanan menakjubkan ini. Sememangnya, beliau adalah pelumba yang amat berbakat dan amat bertuah kepada mempunyai latar belakang yang cukup ‘supportive’ sejak kecil khususnya ibubapa dan keluarga, dan seluruh komuniti di kampungnya di Terengganu.
Saya sebagai penganjur kejuaraan dan bekas pelumba amat berbangga untuk dapat bersama-sama dalam perjalanan karier Qabil Irfan; dan berharap akan terus diberi peluang untuk membantu beliau mengejar impiannya menjadi pelumba MotoGP pada satu hari. Sebenarnya, saya memang sudah ada perancangan untuk Qabil tahun depan dalam pembangunan karier beliau. Untuk ini, sudah pastinya, saya akan berbincang dengan rakan-rakan penaja lain untuk bersama-sama memperkasakan sukan pemotoran negara khususnya di peringkat akar umbi. Alhamdulillah, kita sudah ada juara dunia hari ini dan harap ini bukan yang terakhir.”
